fifie mawi

fifie mawi

Thursday, December 30, 2010

'In Relationship with ..' ALLAH

by Ayu Zamani 

Lihat sahaja jari-jemarimu. Indah bukan? Begitu sempurna bentuknya. Begitu halus sekali buatannya. Cuba gerakkan ia. Lancar sekali pergerakan yang dihasilakan bukan? Siapakah yang memberi bentuk kepada jari-jemarimu itu? Kerananya kamu dapat menulis. Kerananya kamu dapat makan. Ia bukan sahaja cantik, malah berfungsi. Siapakah yang begitu kasih kepadamu, sehingga ia menganugerahkan jari-jemari yang begitu cantik kepadamu, tanpa perlu kepada sebarang bayaran atau balasan?

Hadapkan mukamu ke cermin. Lihatlah betapa halusnya buatan pada wajahmu. Semuanya terletak pada tempatnya. Manusia lain melihatnya, pasti ada saja yang tertarik. Masha-Allah. Siapakah yang meletakkan anggota-anggota itu pada tempatnya? Kenapa bukan mata di bawah, mulut di atas? Siapakah yang begitu kasih kepada, menghiasi dirimu dengan anggota-anggota ini tanpa dikenakan sebarang bayaran atau balasan?

Tak cukup dengan anggota-anggota itu, ditambah pula oleh-Nya, kejayaan-kejayaan kecil dalam hidup; harta dan kekayaan, kereta yang cantik, gred yang bagus dalam peperiksaan serta berbagai nikmat yang lain.

Perhubungan manusia dan Allah berlangsung sejak azali lagi.Perhubungan ini bukan sebarang perhubungan, malah dihiasi oleh perasaan kasih dan cinta-Nya kepada manusia. Perhatikan alam ini. Ia seolah-olah tunduk seluruhnya kepada manusia. Kitalah makhluk paling dominan di muka bumi ini. Semua yang ada di bumi seolah-olah dicipta untuk manusia khususnya. Siapakah yang menundukan bumi dan isinya kepada kita manusia? Siapakah yang begitu kasih kepada kita sehingga ditundukkan segala yang ada di permukaan bumi untuk kegunaan kita?

Hubungan manusia dan Allah bukanlah mulanya ketika manusia mendapat hidayah. Atau mulanya ketika kita mendapat kejayaan kecil dalam hidup.

Perhatikan janin dalam rahim seorang ibu. Beberapa bulan sebelum kelahiran, ia menendang-nendang perut ibunya sehingga kepalanya berada di bawah, dan kakinya di atas. Inilah cara paling mudah untuk keluar dari rahim ibu. Dalam keadaan ia tidak nampak, siapakah yang mengajarnya menendang hingga ke posisi ini? Bagaimanakah ia tahu bahawa tendangannya itu mampu menterbalikkannya?

Kamu keluar dari perut ibumu. Lalu secara fitrahnya ibu dan bapamu begitu kasih kepadamu. Kasihnya itu menyebabkan ia sanggup mengharung jerih payah kehidupan demi membesarkanmu. Siapakah yang mengilhamkan kasih sayang itu kepada ibu dan bapamu? Jika Allah tidak menghadiahkan perasaan kasih itu sudah pasti kamu tidak wujud di muka bumi ini!

Besarnya kamu pada hari ini, bijaknya kamu pada hari ini, indahnya rupamu pada hari ini, beradanya kamu di menara gading pada hari ini, tak lain tak bukan adalah kerana Allah. Bukankah Dia yang paling berjasa kepadamu?

Marilah. Marilah, aku dan kamu, senantiasa ingat kepada nikmat-nikmatnya, agar kita sentiasa bersyukur. Marilah kita sama-sama berusaha untuk mentaati-Nya kerana dialah yang selayaknya ditaati!

WallahuA’lam.

No comments:

Post a Comment