fifie mawi

fifie mawi

Wednesday, December 29, 2010

Di manakah Kebahagiaan yang dicari?


Semalam satu mesej masuk ke dalam Inbox Handset saya.
 
“ Salam, Ustaz.Dunia ini adil ke tak?Kenapa apa yang saya doakan, saya tidak dapat pun.Apa yang saya tidak minta itulah saya selalu dapat. Tapi Saya bersyukur dengan apa yang saya ada. Saya harap sangat ustaz dapat jawapan soalah saya nanti di dalam kelas.”
 
“ Saya minta kebahagiaan hidup tidak dapat pun, kekayaan yang saya tidak pernah minta itu yang saya dapat. Bagi saya harta tidak dapat buat saya bahagia.”




MindSetting

Perjalanan hidup manusia yang panjang di dunia ini pastinya akan diwarnai dengan pelbagai warna kehidupan. Kesukaran, kepayahan, kegembiraan, kebosanan dan bermacam lagi corak warna kehidupan yang akan menghiasi kehidupan duniawi ini.
 
Inilah sunnah alam dunia ciptaan Allah SWT. Allah SWT menyusun kehidupan manusia dengan susunanNya yang sangat cantik dan unik. Sekiranya kita merenungi karenah dan ragam manusia sahaja, pasti kita akan mengagumi keindahan dan kebesaran Allah SWT. Secara fitrahnya, setiap manusia yang normal sangat berhajatkan kepada kebahagiaan, ketenangan, ketenteraman dan kedamaian. Ini kerana inilah fitrah semula jadi manusia yang dijadikan oleh Allah SWT yang suka dan gemarkan sesuatu yang bersifat lembut dan mempesonakan.
 
Apabila soalan tentang Kebahagiaan itu ditanya oleh pelajar saya, saya menyoal kembali kepada diri saya sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan kebahagiaan?Apakah persepsi diri saya tentang hakikat kebahagiaan yang sebenarnya? Di manakah titik permulaan bagi sebuah kebahagiaan yang dicari oleh semua insan di dunia ini?
 
Berbagai-bagai persoalanan yang muncul dibenak saya.
 
“ Kebahagiaan itu, apabila kita boleh duduk bergembira dengan keluarga kita sepanjang masa.”
 
“ Bahagia ini, apabila kita boleh memberi dan berkorban untuk orang yang kita sayang.”
 
“ Bahagia adalah apabila apabila semua cita-cita yang kita idamkan kita dapat.”
 
“ Maksud mudah bahagia ini terlalu subjektif. Ia terpulang kepada individu untuk mentafsirkannya.”
 
“Senang cerita bahagia ini, bila hati senang, duit banyak dan kita lapang dada.”
 
“ Secara umumnya, bahagia ini apabila kita suka dengan suatu suasana dan situasi.”
 
Itu jawapan yang selalu saya dengar apabila kita membiacarakan soal kebahagiaan. Kita boleh amati dan lihat dengan fikiran dan hati kita tentang perkara ini. Pelbagai corak fahaman masyarakat dan kebanyakan orang ramai tentang bahagia. Pelbagai bentuk definisi dan kekadang boleh juga kita rumuskan bahagia itu ia adalah sesuatu yang menyukakan manusia dan semua orang secara fitrahnya mahukan kebahagiaan.




Saya ingin membawa kita merenungi satu sirah sahabat Rasulullah SAW. Sebuah rentetan sejarah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat mengagumkan saya. Beliau yang saya maksudkan itu ialah Bilal Bin Rabah. Saya pasti kisah beliau telah diketahui oleh ramai orang dan kebanyakan kita kisah Bilal ini adalah kisah evergreen sepanjang zaman dan masa. Allah SWT telah muliakan Bilal Bin Rabbah yang asalnya seorang hamba abdi yang dipandang lekeh dan hina oleh masyarakat. Tetapi apabila sinar Hidayah Allah SWT menyinari jiwanya itu, Allah SWT telah mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT semulia-mulia insan. 

Beliau dahulu dikenali sebagai seorang hamba yang pasti tidak akan lekang dari kehinaan, kedaifan dan cercaan daripada kebanyakan manusia sekitarnya namun akhirnya menjadi manusia yang dipandang mulia oleh manusia dan juga makhluk yang ada dilangit. Keimanan yang meresap ke dalam jiwanya telah menjadikan ia hamba yang bebas merdeka sehingga akhirnya beliau diberi satu tugasan yang sangat mulia pada Zaman Rasulullah SAW iaitu Muazzin Rasulullah SAW. 

Sebenarnya satu kisah yang sangat menarik yang menyentuh hati saya adalah ketika para sahabat bertanya kepada Bilal Bin Rabbah satu soalan.
 
“ Ya Bilal, bilakah saat yang paling membahagiakan di dalam hidup kamu?” Soal seorang sahabat.
 
“ Wahai sahabatku, tidak ada saat yang paling membahagiakan dalam hayat ku adalah ketika saya diseksa ditengah padang pasir yang panas dan membakar serta sebuah batu yang besar lagi berat diletakkan diatas dada saya. Ketika itu ungkapan yang mampu saya lafazkan hanyalah , Ahad, Ahad, Ahad( Allah yang Esa, Allah Yang Esa, Allah Yang Esa).” Ujar Bilal dengan wajah yang bersinar dengan penuh cahaya keimanan.
 
Itulah kebahagiaan bagi Bilal Bin Rabbah. Hebat orangnya. MasyaAllah.
 
Tahukah anda kenapa Bilal menjadi begitu hebat dan sangat mengesani jiwa sesiapa sahaja apabila membaca sirahnya?
 
Tahukah anda kenapa Bilal mampu bertahan untuk berpegang dengan Kalimah Tauhid apabila dia diseksa dengan begitu azab dan tidak tergambar oleh fikiran manusia yang waras?
 
Apakah rahsia yang menjadikan jiwa dan hati Bilal begitu ampuh dengan semua dugaan yang menimpanya?
 
Dan mengapakah saat kebahagiaan yang digambarkan oleh Bilal adalah berbentuk sedemikian?




Ketahuilah wahai saudara dan saudari.
 
Ketika itu Bilal telah dirasuk oleh sesuatu yang membuatkan jiwanya begitu kuat untuk mengingkari arahan Tuannya yang zalim.
 
Ketika itulah, hatinya apabila disentuh oleh sesuatu yang sangat membahagiakan sehingga ia tidak mahu melepaskannya
Ketika itu sanubari beliau seolah-olah dicengkam kukuh oleh sesuatu yang membuatkan Bilal sangat-sangat terpaut kepadanya.
 
Itulah yang dinamakan cahaya KEIMANAN. Itulah yang dikatakan sinar keyakinan kepada Allah SWT.
 
Itulah Aqidah Islamiyah yang kuku terpahat disanubari jiwa seorang hamba yang menginginkan kebebasan dan kemerdekaan yang sebenar.
 
Itulah kisah seorang manusia yang pada pandangan manusia biasa terseksa, tetapi bagi dirinya dia berada dalam zon kebahagiaan yang tidak terucap!
 
Kebahagiaan inilah yang dirasai oleh para sahabat dahulu. Mereka mencari kebahagiaan yang sebenar sehingga Allah SWT mencampukan perasaan ketenangan yang menyejukkan dan mengalirkan siraman ketenteraman daripada langit ke dalam jiwa kecil mereka.
 
Inilah suatu perasaan yang tidak diketahui oleh golongan Musyrikin suatu masa dahulu, sehinggakan mereka hairan dengan kedegilan dan keteguhan kaum Muslimin untuk terus berpegang teguh dengan tali Allah SWT walaupun pelbagai bentuk penyeksaan yang dikenakan.
 
Ia adalah pegang, prinsip atau ikatan yang tersimpul kukuh di jiwa yang memberi satu desakan dan tolakan kepada manusia untuk bergantung sepenuhnya kehidupan kepada Allah SWT.
 
Inilah titik tolak, sumber dan pancaran utama kekuatan KEBAHAGIAAN kepada Bilal Bin Rabbah.




Titik Tolak Yang Betul
 
Kebahagiaan itu bermula dengan sebuah keyakinan dan kepergantungan yang dalam dan meresap menyentuh naluri keinsanan. Sinar keimanan mulai menampakan bibit-bibit kebahagiaan kepada sesiapa yang mahukan sebuah kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.
   
Inilah turning point kepada kebahagian yang sebenar. Keimanan sepenuhnya kepada Allah SWT tanpa keraguan dan kesangsian. Keimanan yang menjadikan Allah SWT tempat pergantungan tanpa wujudnya perasaan berbelah bagi.
  
Membina Kehidupan Berlandaskan Kebahagiaan

Persoalan inilah yang perlu kita jadikan fokus di dalam kehidupan seharian kita. Tanpa kebahagiaan, kehidupan akan sengsara dan perjalanan hayat ini dilalui dengan jiwa yang kosong serta hambar. Bibit keimanan perlu dibajai dengan kesungguhan untuk kembali kepada Allah SWT dengan meninggalkan segala dosa-dosa yang boleh merosakkan fitrah manusia.
 
Saya teringat kata-kata As-Syahid Imam Hassan al-Banna seorang tokoh gerakan Ikhwanul Muslimin yang terkenal tentang kebahagiaan :
 
" Sesungguhnya kebahagiaan itu adalah impian yang diimpi-impikan oleh sekalian manusia, oleh demikian, ianya terletak pada ketulusan hati sanubari mereka sendiri, dan ianya tidak datang dari luar hati mereka sekali-kali."

Kebahagiaan itu terletak pada ketulusan hati. Hati adalah tempat bertapaknya kebahagiaan. Dan Hati juga adalah tempat disemai dan dibajainya keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Keimanan dan kebahagiaan itu dipupuk disuatu tempat yang sama kerana kedua-duanya saling lengkap melengkapi. Bermula dengan modal keimanan kepada Allah SWT, hasilannya adalah kebahagiaan yang menjadi keuntungan buat jiwa-jiwa yang merindui kemanisan bertawakal kepadaNya.
 
Inilah kebahagiaan yang sebenarnya dalam kehidupan seorang mukmin. Tanpanya kita seolah-olah bangkai bernyawa yang hidup bagaikan hidup-hidupan! Hilang kemanisan beriman dan pudar segala warna kehidupan yang cantik mempesona.
 
Binalah tangga kebahagiaan dengan memacak asas keimanan yang betul.

by Abu Hanifah

No comments:

Post a Comment