fifie mawi

fifie mawi

Wednesday, February 16, 2011

Antara Ibu Bapa dan Kekasih Hati


Di dalam keadaan diri yang masih bersendirian, tiba-tiba muncul seseorang yang mengisi kekosongan hati anda. Kebetulan beliau seorang penyayang, seorang yang memahami, seorang yang romantik. Terasa dirinya berpotensi menjadi pasangan hidup yang sesuai. Malangnya apabila diperkenalkan kepada ibu bapa, mereka tidak bersetuju.

Di dalam keadaan ini, seseorang itu mempunyai 2 pilihan.

Pertama, meneruskan perkahwinan dan mengenepikan kedua orang tua kemudian menetap jauh-jauh selepas berkahwin. Kedua, ketepikan si dia dan utamakan kedua orang tua, kemudian meratap sedih. Sudah tentu, pilihan kedua adalah lebih arif, namun terdapat kaedah yang boleh digunakan agar seseorang itu memperolehi kedua-duanya tanpa sebarang dilema.

Di dalam surah Luqman ayat 14, Allah s.w.t telah berfirman, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Telah jelas, hampir di dalam semua keadaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding segala-gala di dalam alam ini, kecuali beberapa hal yang dilarang. Firman Allah di dalam surah Al-Ankabut ayat 8, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka.”

Di dalam sebuah hadith lain riwayat sahabat Abu Darda’ r.a. Telah datang seorang lelaki kepadanya dan berkata, “Aku memiliki seorang isteri dan ibuku menyuruh aku menceraikannya.” Kata Abu Darda’, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “orang tua-tua adalah pertengahan pintu-pintu syurga. Jika kamu mahu, kamu boleh sia-siakan atau kamu boleh menjaga ia.”[2] Ibu bapa diibaratkan seperti pintu-pintu di tengah syurga. Adakah bijak sekiranya seseorang itu mengabaikan satu kebaikkan yang besar kerana seorang kekasih hati?

Justeru, adalah menjadi satu langkah bijak sekiranya seseorang itu dapat mengenalpasti ciri-ciri menantu idaman daripada ibu bapa mereka terlebih dahulu. Bagaimana perwatakan, bagaimana rupa paras dan tingkah laku. Perkara ini subjektif, masing-masing ibu bapa mempunyai “piawaian” yang berbeza. Setelah itu, barulah dimulakan pencarian si dia dengan berdasarkan petunjuk Al-Quran, hadith-hadith Rasulullah dan doa-doa serta solat-solat yang berkaitan dengan hajat anda.. InsyaAllah, tidak akan ada dilema menanti di hadapan anda.

No comments:

Post a Comment